Beli Masa Depan Pada Harga Sekarang

Pernah tak kita terfikir, kenapa ada orang sanggup berkorban hari ini untuk sesuatu yang hasilnya belum nampak?

Ada yang sanggup belajar selepas penat bekerja. Ada yang mula membina bisnes walaupun pendapatannya masih kecil. Ada juga yang menyimpan dan melabur ketika orang lain sedang seronok berbelanja.

Apa sebenarnya yang mereka nampak?

Harga Hari Ini, Nilai Masa Depan

Bayangkan 10 tahun lalu, seseorang membeli sebidang tanah pada harga RM100,000.

Hari ini, mungkin tanah yang sama sudah bernilai RM300,000.

Orang yang membeli dahulu membayar harga ketika itu, bukan harga hari ini.

Prinsip yang sama berlaku dalam kehidupan kita.

Ilmu yang dipelajari hari ini mungkin menjadi sumber pendapatan lima tahun lagi.

Bisnes yang dibina hari ini mungkin menjadi aset yang memberi kita lebih banyak pilihan pada masa depan.

Begitu juga hubungan baik yang kita jaga hari ini. Mungkin suatu hari nanti menjadi asbab terbukanya peluang yang tidak pernah kita bayangkan.

Jagalah hubungan baik dengan sesiapa sahaja. Kita tidak tahu siapa yang Allah hadirkan hari ini, yang mungkin menjadi asbab terbukanya pintu rezeki pada masa depan.

Surah An-Nisa’, ayat 1 (petikan)

Allah SWT berfirman:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”

Masa Tetap Akan Berlalu

Lima tahun dari sekarang, umur kita tetap bertambah.

Persoalannya, apa yang turut bertambah bersama usia kita?

Ilmu? Simpanan? Aset? Hubungan baik?

Atau sekadar komitmen bulanan?

Kita mahu kebebasan kewangan dan lebih banyak masa bersama keluarga.

Tetapi semuanya ada harga yang perlu dibayar hari ini.

Masa, usaha, disiplin dan kesabaran.

Apa yang terasa berat hari ini mungkin menjadi perkara yang paling kita syukuri pada masa depan.

Satu Keputusan Hari Ini

Kita tidak boleh mengubah peluang yang telah kita lepaskan semalam.

Tetapi kita masih boleh membuat keputusan hari ini untuk kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Jangan tunggu semuanya sempurna untuk bermula.

Kerana setiap hari kita menangguhkan tindakan, kita juga sedang melepaskan peluang yang mungkin tidak datang pada harga yang sama.

Jadilah orang yang sanggup membeli masa depan pada harga sekarang, bukan orang yang melepaskan masa depan.

Make it happen.